Sumber : Utusan Online 20.7.2007
Hidupkan semangat daulatkan bahasa Melayu Raja Nazrin
KUALA LUMPUR 19 Julai Bahasa Malaysia perlu dimartabat dan diberi kemuliaan sebagai bahasa kebangsaan yang merupakan sebahagian daripada semangat perjuangan kemerdekaan, titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.Baginda bertitah, semangat mendaulatkan bahasa itu harus dihidupkan dan tidak ada maknanya jika ia hanya termaktub dalam satu perenggan dalam Perlembagaan Negara.
Menurut baginda, dalam membicarakan isu berkaitan pencemaran bahasa, isu pokok dan kedudukan dan nilai bahasa perlu disentuh dalam negara yang setengah abad menyambut kemerdekaan.
Bahasa itu adalah satu komponen yang memberikan identiti bukan hanya kepada bangsa tetapi kepada negara. Bahasa Melayu perlu diberi nyawa dan nafas dan disuntik dengan nilai dan harga.
Oleh itu negara harus arif melakukan perimbangan bijaksana supaya warisan pusaka bangsa tidak tergadai dalam hasrat mahu membangunkan sumber manusia bersifat global, titah baginda.
Baginda menyatakan demikian dalam titah perasmian pada Seminar Bahasa Rojak: Kecelaruan Penggunaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.