Selasa, 9 Oktober 2012

Semangat Daulatkan bahasa Melayu

Sumber : Utusan Online 20.7.2007

Hidupkan semangat daulatkan bahasa Melayu – Raja Nazrin

KUALA LUMPUR 19 Julai – Bahasa Malaysia perlu dimartabat dan diberi kemuliaan sebagai bahasa kebangsaan yang merupakan sebahagian daripada semangat perjuangan kemerdekaan, titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.
Baginda bertitah, semangat mendaulatkan bahasa itu harus dihidupkan dan tidak ada maknanya jika ia hanya termaktub dalam satu perenggan dalam Perlembagaan Negara.
Menurut baginda, dalam membicarakan isu berkaitan pencemaran bahasa, isu pokok dan kedudukan dan nilai bahasa perlu disentuh dalam negara yang setengah abad menyambut kemerdekaan.
‘‘Bahasa itu adalah satu komponen yang memberikan identiti bukan hanya kepada bangsa tetapi kepada negara. Bahasa Melayu perlu diberi nyawa dan nafas dan disuntik dengan nilai dan harga.
‘‘Oleh itu negara harus arif melakukan perimbangan bijaksana supaya warisan pusaka bangsa tidak tergadai dalam hasrat mahu membangunkan sumber manusia bersifat global,’’ titah baginda.
Baginda menyatakan demikian dalam titah perasmian pada Seminar Bahasa Rojak: Kecelaruan Penggunaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Turut hadir, isteri baginda, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaaffar, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah dan Presiden Persatuan Bahasa Moden Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Asmah Omar.
Raja Nazrin bertitah, kejayaan memberikan martabat kepada bahasa Melayu dalam sebuah negara bangsa merdeka telah diperkukuhkan dengan kejayaan menyuntik nilai kepada bahasa Melayu.
Titah baginda, bahasa Melayu diterima dan dipraktikkan bukan sahaja sebagai bahasa pentadbiran rasmi negara malah menjadi instrumen penting sebagai bahasa perhubungan yang dapat menyatupadukan warga.
‘‘Ratusan ribu jam telah diabadikan dalam usaha memastikan bahasa Melayu berkembang dinamik berupaya memenuhi fungsi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu dan bahasa menyatupadukan warga,’’ titah baginda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...