Pemberian peruntukan tambahan RM500 juta dalam Belanjawan 2013 untuk mempertingkat kemahiran mengajar dalam kalangan pendidik untuk empat subjek teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, amat dialu-alukan. Ia bertujuan mengembangkan kemahiran berfikiran kritis dalam kalangan pelajar oleh guru.

Sehubungan ini, Sejarah yang diangkat menjadi subjek teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, perlu turut dimasukkan dalam latihan perguruan ini. Selain subjek wajib, ia antara kurikulum penting yang dapat memupuk asas dan perspektif nasional yang dikongsi bersama.
Kemahiran berfikir aras tinggi sebagai aspirasi penting dalam PPPM, akan cuba dicapai melalui tiga cara. Pertama, dengan penguasaan kemahiran berfikiran kreatif dan inovatif, pelajar diajar untuk memperoleh kepandaian menjana prospek baharu, selain mencipta gagasan dan pengetahuan baru. Kedua, melalui penguasaan kemahiran menyelesaikan masalah dan menaakul, pelajar dilatih untuk bersedia berdepan dengan sebarang masalah, yang kemudian diselesaikan selepas menaakul dengan kritis dan logik, agar keputusan yang dibuat itu bernas.